Saturday, November 24, 2007

ANAK KELAH berenang-renang di Sungai Siput

Hari ini telah masuk hari yang ke-6 si anak kelah berenang-renang di Sungai Siput. hari ni mereka belajar memasak pulak. Siap buat sandwich tu. maklumlah berkem di Pusat Kegiatan Kemas. Ada kelas memasak macam mak cik-mak cik kampung. Muridku telah memenangi hadiah hidangan terbaik.

Friday, November 23, 2007

HARI JUMAAT YANG MULIA




Dahulu zaman kanak-kanakku, orang kata malam jumaat ada hantu. Anak-anak kelahku kata takut syarok (hantu). Tapi bila dah besar barulah ku tahu sebenarnya malam jumaaat adalh malam yang berkat.


Apabila Ssang Suria menjengah sinarnya ke bumi pada hari jumaat bermakna kem kami telah masuk hari yang ke-5... dua hari lagi nak balik anak-anak kelah ku berbisik sesama mereka. Kalau mereka tahu Sang Maha Guru mereka ini juga telah lama menghitung hari pasti mereka ketawa besar.


Kelas di teruskan dengan topik OO.Org.Impress...bunyilah agak canggih tapi ia lebih kurang sama macam power point tu.. Hebat dunia hari ini. murid sekolah rendah pun telah didedahkan dengan pelbagai ilmu digital. Maklumlah walaupun anak didikku ini tinggal di kawasan hutan tebal "the Royal Belum" tapi mereka tidak dipinggirkan dari arus globalisasi yang hebat melanda dunia. Tempiasnya samnpai juga ke Lembah Banun nun di banjaran Khatulistiwa.


Lihatlah DUNIA!!!!! anak didikku dari suku asli Jahai bukan lagi masyarakat nomad tapi sedang mengharungi anjakan paradigma dunia global.


Sebagai bukti kutitipkan hasil kerja anak-anak kelah ku ini. lihat... tengok... pandang dan tenung.

Thursday, November 22, 2007

LOMPAT SI KATAK LOMPAT, DAH HARI KE-4













22 NOVEMBER 2007 hari yang ke-4.
murid-muridku tidak mengenal erti penat..
bermacam ilmu anak muridku dapat
moga-moga di kepala ada yang melekat
internet sudah,email pun sudah
soyuz kedua juga dicipta
kenangan di KPerak Kidz sungguh indah
seronoknya si kelah tak terkata
budak-budak dapat kawan baru
simpan dalam pengkalan data
membina blog topik untuk cikgu
cikgupun mula bersengkang mata
esok sudah hari kelima
banyak sudah ilmu ditimba
guru-guru tersenyum gembira
menunggu hari akhir berkunjung tiba.






Tepukan semangat 21 November 07





Hari ini sudah masuk hari yang ke-3 kami berkampung di Kem KPerak Kidz. Ku lihat murid-muridku semakin bersemangat sama seperti tepukan semangat yang diajar oleh fasilitatur. Terima kasih kakak dan abang fasi yang terus membakar semangat anak-anak kelah ku ini.



Seketika aku pernah terkedu sejenak.... apabila tiba slot pengenalan internet dan email. Adakah anak-anak kelah ini dapat memahami apa yang dipelajari. Maklumlah di sekolah walaupun ada makmal komputer tetapi kami tiada bekalan elektrik. perkhidmatan internet jauh sekali kerana kami juga tidak ada sebarang talian telefon. Kami perlu menghidupkan generator untuk menggunakan makmal dan bergantung kepada sumber peruntukan minyak diesal yang ada. Apa yang kuharapkan anak-anak kelah ini dapat mempelajari sesuatu.



Apabila ku melihat peserta sekolah lain berlumba-lumba untuk menjawab, jauh disudut hatiku bermonolog duka, kesihannya bilalah anak-anak kelah ini dapat dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakan yang lain.



Rupa-rupanya monolog duka ku ini didengari. Anak kelahku telah dinobatkan sebagai pemenang Karangan Diri Kami. Syukur moga inilah pencetus dan penyuntik semangat untuk mereka mencipta rekod bukanlah untuk sekolah cukuplah sekadar untuk diri mereka sendiri.



Buktinya mereka juga telah berjaya membina dan menyiapkan beberapa lembaran yang di pelajari beberapa hari di sini.



Sebening pagi di Sungai Siput








Tanpaku sedari fajar telah menyingsing. Aku tidak dapat melelapkan mata semalaman. Teringat si kecil permata puteri hati yang ku tinggalkan bersama ayahandanya. Tetapi demi tanggungjawab pada anak bangsa ku teruskan perjalanan menyusuri hari-hari yang mendatang.


Anak didikku hari ini bersenam robik sakan,


ke kiri ke kanan menghayunkan kaki dan tangan.


Anak-anak kelah dari SK RPS Banun ini bukan sebarang kelah lagi.

HARI PERTAMA DI KEM KPerak Kidz



Perjalanan yang jauh dari Gerik menyebabkanku tertanya-tanya di manalah Pusat Kegiatan Kemas, vanue kem kami. Murid-muridku tidak sabar lagi. Mereka berkali-kali bertanya jauh lagi ke cikgu.

Hendakku ceritakanpun bukannya mereka tahu. Anak didikku ini kaum asli daripada suku Jahai, naik kereta pun sekali-sekala. Aku hanya mampu katakan Sungai Siput ni sebelum Ipoh. Apabila kutanya pernah ke pergi Ipoh, mereka kata "tak pernah, KL pernah la cikgu.

Sesampai di Jambatan Sultan Azlan Shah aku menyuruh mereka melihat sungai Perak yang besar dan luas, tapi sekali lagi aku terkena, kata mereka Sungai di Kampung mereka lagi besar dan takla kotor macam ni.

Sebagai seorang cikgu akupun mengambil kesempatan ini menerangkan kepada anak didikku" sebab tu lah kita mesti sayang akan alam sekitar kita, kalau tidak kita yang menjaga dan memelihara alam sekitar dan khazanah alam ini siapa lagi. Jadi kita mestilah menjaga kebersihan sungai supaya anak cucu kita nanti dapat lagi menikmati khazanah alam yang amat berharga ini.

Setelah bermacam-macam laras soalan berjaya kujawab akhirnya kamipun sampai ke kem KPerak Kidz. Soalan yang lazim ditanya oleh anak didikku ini " cikgu ada orang asli macam kami tak?". mereka masih terbawa -bawa perasaan rendah diri mereka. untuk menaikkan semangat aku katakan " kamu umpama kelah di air. Sekilas pandang orang sudah tahu rasanya yang enak, asli , dalam lindungan, sukar diperolehi dan sangat mahal di pasaran. ANAK-ANAK KELAH YANG KU BAWA KE KEM KPERAK KIDZ INI TERPINGA-PINGA. AKU HANYA TERSENYUM...... BANGGA MENJADI SEORANG GURU YANG MENGAJAR DI PEDALAMAN DI S.K. RPS BANUN, GERIK, PERAK.